Saturday, August 21, 2010

Cerita Arwah Bersama Bloger Syahril A. kadir


sejak kebelakangan ini aku agak hairan kerana ada seorang pembaca blog ini yang tak pernah ‘miss’ memberikan komennya dalam setiap entry yang aku tulis
setiap komen yang diberi pula cukup positif, jarang sangat dia tidak bersetuju dengan aku walaupun dalam entry-entry yang aku sendiri sifatkan ia agak ‘panas’
untuk pengetahuan korang, selalunya aku akan menulis entry menjelang Subuh, yang hairannya, kekadang tak sampai 10 minit, dia dah pun bagi komen dalam entry yang aku siarkan itu
disebabkan terlalu ingin mengetahui siapakah lelaki misteri yang hanya menggelarkan dirinya Sham Trg itu, aku cuba mengesan alamat emelnya
dari situ aku mendapat nombor telefon Sham Trg yang kebetulan ada menyertai sebuah kelab motorsikal skuter di Terengganu aku ingat lagi, di waktu Subuh jugalah, aku akhirnya dapat bercakap dengan beliau yang ketika itu sedang bersiap untuk mengajar di sebuah sekolah di Terengganu sejak itu kami sering berbual dalam telefon, seolah-olah kami dah kenal lama sedangkan kami tidak pernah bertemu muka pada suatu hari dia menelefon dan beriya-iya mahu menemuiku di depan Kompleks Pertama, sedang bercuti bersama keluarga katanya
tepat waktu yang dijanjikan, aku pun duduk di sebuah restoran berhampiran
tak sampai 10 minit, Sham terus menerpa dan memeluk aku dengan erat sampai aku tergamam dibuatnya
” Tak sangka akhirnya kita bertemu gak Ril, aku bukan nak tipu mu, tetapi aku memang suka baca blogmu, kalau sehari mu tak tulis aku doh gelisah, bukan apa takut mu tak sihat je,” katanya
turut bersama kami adalah dua adik lelakinya
terus terang, aku tak sangka aku ada peminat setia macam Sham, memang aku terharu sungguh
lalu kami pun berborak macam dah kenal lama, dekat dua jam jugalah, kami bergelak ketawa, order air ni jangan kiralah, ada kot dekat tiga gelas seorang
tapi sepanjang berbual itu, mata aku asyik tertumpu dekat lengannya…bukan apa, aku nampak urat-urat lengannya timbul dekat permukaan kulit, sebesar straw adalah, hijau dan kehitaman
aku dapat rasa ini mesti berkaitan dengan penyakit buah pinggang, selalunya simptom ini ada pada mereka yang menjalani rawatan dialisis, rupanya memang betul
” Ril, aku ni dulu aktif main rugby sehinggalah suatu hari aku demam teruk, rupa-rupanya bila check, buah pinggang aku rosak, sebab tu sampai sekarang aku kena buat dialisis,” kata Sham
aku terdiam, tak sangka disebalik gelak tawanya Sham menghidap penyakit yang serius
sebelum beredar, dia mengajak aku ke hotel penginapannya kerana dia ada membawa ole-ole berupa keropok lekor, ishk pendek kata aku memang terharu sungguh dengan Sham ni
tetapi baru dia tiga tapak melangkah, Sham kelihatan semput, tercungap-cungap bagaikan baru lepas berlari
” Sham, aku rasa penyakit mu ni teruk ni, mu bior betul Sham, aku dah rasa bersalah ni!,” kata aku
” Mu jangang ngadalah, biasalah aku macam ni, aku tak peduli, jom gi amik keropok,” katanya. Aku dah jadi serba salah gila
selepas mengambil keropok itu, Sham terus memberi nasihat pada aku
” Ril, ini ujian Tuhan yang aku kena terima. Kalau ikut aku dah mati lama dah, tetapi aku tetap kuatkan semangat, kalau aku nampak lemah, isteri dan anak-anak aku pun akan jadi lemah, kita jangan putus asa,” kata Sham sebelum kami berpelukan sekali lagi
sejak itu aku tidak pernah berjumpa lagi dengan Sham, tetapi SMS tetap ada, dan dia pun seperti biasa setiap pagi pasti akan memberikan komen dalam entry-entry aku
nak dijadikan cerita, selepas sahur Subuh tadi, aku saja buka Facebook, tiba-tiba aku ternampak dia ‘online’
tak sampai seminit kemudian, aku dapat mesej darinya
SYAHRIL, INI ISTERI ABANG SHAM. ABANG SHAM TENGAH KOMA KAT HOSPITAL SEBAB STROKE.TOLONG DOAKAN DIA
aku terus jadi lemah, dan kira-kira tengah hari tadi, isterinya memaklumkan pada aku yang Sham telah pergi buat selama-lamanya
aku hampir nak meraung, aku tak pernah merasa sedih sebegini, kalaulah aku ada sayap, nak saja aku terbang ke Kuala Terengganu waktu itu juga!
ya Allah, rupa-rupanya pertemuan sulung kami itu juga adalah pertemuan terakhir untuk kami berdua
ketawa pertama kami hari itu adalah ketawa terakhirnya pada aku dan nasihat pertama dia pada aku rupanya adalah nasihatnya yang terakhir juga pada diriku
buat Sham, kenapalah kau pergi terlalu awal, kau kata nak tunggu aku di Terengganu, kau kata nak bawa aku jalan-jalan, kau kata nak bawa aku makan ‘ikang’
sesungguhnya aku kehilangan insan yang aku anggap macam abang kandung aku sendiri
InsyaAllah Sham, aku berjanji, suatu hari nanti aku akan singgah ke pusara kau, dan aku hadiahkan Fatihah buat kau Sham
tenanglah kau di sana, ini hanyalah satu tidur panjang…dari tanah kita datang, dan ke sana juga kita semua akan kembali
aku tak dapat menulis lagi bro….
SAK: Al-Fatihah buat Sham Trg @ Cikgu Noor Sham Mohd (1970 – 2010)

Friday, August 20, 2010

Keluarga Unit D Kembali ke Rahmatullah

Assalamualaikum, buat sahabat serta warga MPPP khasnya Sesi 92-94 , kita kehilangan seorang keluarga iaitu Norhisam Hj. Mohamed yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 1.00 petang pada 19.8.2010 di hospital Kuala Terengganu setelah dimasukkan ke wad rawatan rapi. Jenazahnya disemadikan di Kuantan. Buat rakan-rakan khasnya unit D, doakanlah rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Juga halalkanlah apa jua perkara sepanjang arwah bersama-sama kita sewaktu di MPPP dulu. Buat keluarga terutamanya isteri dan keluarga, mohon kemaafan seandainya paparan ini tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Juga semoga keluarga ditabahkan iman, dikuatkan semangat, redhakanlah pemergiannya. Akhir sekali semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat...Amin... Amin...Amin...

Thursday, July 15, 2010

Israk Mikraj Bersama Kita Renungkan

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv.
Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v.
Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Friday, February 26, 2010

Sahabat Kita Kembali ke Rahmatullah

Pada tanggal 25 Disember 2009, sahabat kita Faizal Mohd Ramli dari unit D(92-94) kembali ke Rahmatullah. Menurut cerita sahabat kita Uteh, beliau meninggal ketika tidur. Aku pun tak tahu cerita selanjutnya. Berita ini aku baru saja terima dari Uteh ( 27 Feb. 2010 ) kebetulan isteri arwah menelefonnya. Sebenarnya aku amat terkejut sekali, dalam akhir tahun lepas, sempat juga dia bercat dalam blog.Aku terkejut sangat, maklum waktu di maktab kami sama-sama berhujan panas waktu latihan rugby, bagi kami keakraban rugby team hanya dapat dirasakan kepada sesiapa yang pernah menyertainya. Kepada keluarga Allahyarham mohon maaf andainya paparan ini tidak diizinkan. Kapada sahabat semua maafkanlah apa jua perkara yang kurang menyenangkan atau apa jua rezeki atau sebagainya, halalkanlah dan maafkanlah selama arwah pernah bersama-sama kita. Kepada semua sahabat juga doakanlah moga rohnya dicucuri rahmat hendaknya.Amin... Al Fatihah.

Tuesday, October 13, 2009

Tuesday, October 6, 2009

lama terpisah kini bertemu kembali

Assalamualaikum, kepada semua sedara mara unit D 92/94
Harap-harap dengan adanya blog ni dapatlah kita semua berjumpa semula walaupun hanya di alam maya.
Dah dekat 15 thn tak dengar cerita sesaing unit D,ada yang dah maju ke depan dan yang paling ramainya perut shj yg maju ke depan

Friday, October 2, 2009

Sunday, May 24, 2009

Ucapan Terima Kasih

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga M3P terutama kepada Cikgu Sabri yang menggerakkan kami untuk bersama-sama menyatukan kami dalam blog ini. Semoga usaha Cikgu Sabri ini akan menjadi penyambung hubungan bekas pelatih Maktab Perguruan Pasir Panjang yang hanya tinggal kenangan akan terus menjadi kenangan manis untuk kita semua. Kekuatan kenangan yang kita tinggalkan bersama amat terasa kerana pertamanya M3P hanya tinggal nama sahaja dan yang paling penting kerana maktab yang kecil menyatukan semua warganya lebih-lebih lagi dalam satu-satu pengambilan.Sekian, Wassalam.Azman Ihsan.

Unit D 92-94.

Saturday, May 23, 2009

Salam Pertemuan Kembali

Blog ini di khususkan untuk pelatih Maktab Perguruan Pasir Panjang sesi 1992/1994. Diharapkan semua sahabat menggunakan blog ini untuk menghubungkan semula sahabat-sahabat kita yang pernah bersama satu masa dahulu . Sila hubungi azmanihsan@yahoo.com.my untuk kita kongsi bersama. Terima kasih.